Membimbangkan, makin ramai kaki judi muda, kata pusat pemulihan

Membimbangkan, makin ramai kaki judi muda, kata pusat pemulihan

Golongan remaja bergelumang hutang tinggi yang terpaksa dibayar ibu bapa mereka, kata jurucakap.

Sebuah NGO berkata, syarikat perjudian menyasarkan golongan belia daripada keluarga kaya kerana mereka pasti mendapat bantuan ibu bapa jika bermasalah kewangan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Semakin ramai golongan muda kini terjebak dalam perjudian dalam talian tidak berlesen, menurut sebuah pusat pemulihan kaki judi.

Bryant Leong, ketua pegawai operasi Gambler Rehab Centre berkata, kes paling muda melibatkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang bergelumang hutang RM300,000 selepas ketagihan perjudian dalam talian tidak berlesen.

Katanya, syarikat perjudian lazim memaut orang muda daripada keluarga kaya kerana golongan itu mempunyai ibu bapa yang mampu membayar hutang mereka.

Menurutnya, sukar untuk memastikan nilai sebenar hutang melibatkan golongan muda seperti itu, kerana ramai keluarga yang memilih “mengunci mulut” dalam menghadapi masalah berkenaan.

“Kamilah penyelesaian akhir untuk mereka. Mereka hanya mula mencari pusat pemulihan di internet apabila sudah kehabisan wang,” katanya.

Katanya, 60 daripada 319 pelanggan yang mendapat bantuan di pusat pemulihannya sejak awal pandemik adalah di bawah usia 30 tahun.

Pada 15 Mei, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran kepada ketua polis daerah bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka gagal bertindak terhadap aktiviti perjudian di kawasan masing-masing.

Ayob Khan berkata, Bukit Aman akan campur tangan sekiranya ketua polis berkenaan gagal dapat mengekang masalah itu.

Sementara itu, pengasas pusat pemulihan itu, bekas kaki judi yang hanya mahu dikenali sebagai Lionel menggesa kerajaan mengambil tindakan segera menyekat iklan perjudian di internet.

Beliau yang juga paderi berkata, syarikat berkenaan menggunakan gadis muda untuk memaut kaki judi.

“Begitu banyak iklan judi di Facebook menggunakan gadis muda yang cantik sebagai model,” katanya sambil mempertikai sama ada syarikat berkenaan dibenarkan mengiklan di internet.

Beliau menuduh kerajaan tidak mempunyai kemahuan dari segi politik untuk menangani masalah itu, dan menggesa pihak berkuasa bertindak secara konsisten.

“Setiap kali (seseorang membunuh diri kerana hutang) ketua polis akan menyoal kenapa tiada sesiapa membuat laporan mengenainya. Mereka berkata, sekiranya dilaporkan mereka akan mengambil tindakan.

“Namun bila kami membuat laporan polis mereka menyoal pula kenapa berhutang dengan ah long, kemudian berkata mereka tidak dapat mengendalikan kes seperti itu,” katanya.

Lionel menggesa kerajaan mengambil tindakan konkrit bagi mengekang masalah judi dalam talian dan bukan sekadar “sekali-sekala membuat bising”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.