
Beliau berkata, justeru seluruh rakyat perlu memanfaatkan kekuatan kerajaan masa kini untuk bersama membangun dan membela nasib semua kaum dan agama yang ada di negara ini.
“Kenapa kita mahu raikan semua perayaan suku kaum dan agama yang ada di Malaysia? Kerana kita mahu semua rakyat di Malaysia maju. Persaingan itu kita buat untuk kebaikan, bukan permusuhan dan sebab itu saya rasa penting rakyat Sabah juga dapat menyokong semua program yang dilaksanakan oleh kerajaan kukuh di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Rakyat Sabah perlu gunakan kekuatan kerajaan untuk sama-sama berganding bahu memaju dan membangunkan negeri ini, sekali gus membela rakyat Sabah,” katanya memetik Bernama ketika berucap pada Program Semarak Perpaduan Rakyat Parlimen Papar bersama perdana menteri di Palm Square Kinarut dekat Papar.
Hadir sama, Hajiji, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Ali, dan Timbalan Ketua Menteri lll Shahelmey Yahya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, walaupun dasar kerajaan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan mengatakan Islam itu adalah agama rasmi Malaysia dan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, namun ia tidak menghalang negara ini meraikan kepelbagaian.
“Kita tidak menghalang agama lain untuk melaksanakan hak-hak mereka…jangan hina kaum atau agama lain kerana itu hanya mendatangkan perbalahan. Oleh itu kita kena hormat menghormati dan terima perbezaan yang ada…apa yang saya mahukan adalah negara yang menghormati semua pihak,” katanya.
Pada majlis yang sama, Anwar turut berkesempatan menyerahkan kad pesara kepada keluarga allahyarham Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub dilaporkan meninggal dunia ketika dalam misi menawan Everest menerusi Malaysia Everest 2023 (ME2023), baru-baru ini.