Jam tangan ‘LGBTQ’, Swatch belum beri penjelasan, kata Saifuddin

Jam tangan ‘LGBTQ’, Swatch belum beri penjelasan, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata sebagai agensi kawal selia pihaknya perlu mengambil langkah terutama melibatkan isu sensitif.

Jam tangan Swatch yang dirampas tertera tulisan ‘LGBTQ’.
PETALING JAYA:
Swatch belum memberi penjelasan berhubung perkataan tertera “LGBTQ” pada permukaan jam yang dirampas Kementerian Dalam Negeri, kata menterinya, Saifuddin Nasution Ismail.

“Sebagai agensi kawal selia, kita tahu isu ini sensitif, tindakan kita tidak mampu puaskan hati semua pihak. Adakah pihak Swatch ada hubungi kita? Jawapannya, belum.

“Sebab itu saya nak tegaskan memang tertera pada muka jam perkataan itu (LGBTQ) yang jadi sebab rampasan dilakukan,” katanya menurut Kosmo.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kaunter khas jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN dilaporkan menyerbu 11 kedai Swatch di Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall, dan Suria Sabah berhubung “Koleksi Pride” ditawarkan jenama itu.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek dilaporkan berkata, jam tangan dirampas KDN itu tidak mengandungi sebarang rujukan kepada LGBT.

Hayek berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula jam tangan “Pride Collection”.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebelum ini menegaskan rampasan jam tangan itu bukan berkaitan warna, tetapi ia ada kaitan dengan isu LGBT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.