
Aziedy Abdul Talib, 42, yang juga bekas COO Mutiara.com Sdn Bhd, dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat syarikat teknologi maklumat itu di Tingkat 14 Menara Umno, Jalan Macalister di daerah Timur Laut pada 11 Okt 2016.
Dia didakwa menipu kakitangan Mutiara.com Sdn Bhd dengan cara memperdaya eksekutif operasi kewangan syarikat untuk mempercayai kandungan invois PC023/01/2016 bagi perkhidmatan “Kaspersky Antivirus License renewal consultation service” adalah benar bagi mendorong bayaran RM40,000 kepada ATR Resources Enterprise, syarikat milik adiknya.
Bernama melaporkan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa atas pertuduhan pilihan, iaitu memberikan dokumen invois palsu kepada eksekutif operasi kewangan Mutiara.com Sdn Bhd untuk perkhidmatan sama berjumlah RM40,000 yang tidak dilaksanakan ATR Resources Enterprise.
Aziedy didakwa melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mana-mana nilai lebih tinggi.
Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan Aziedy diikat jamin RM10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM.
Mahkamah menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Bulan lalu, Aziedy turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan RM415,397 tujuh tahun lepas.