
Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Program Mesra Bersama Warga ATM Markas 5 Briged di Kem Lok Kawi, Sabah.
Anwar berkata, kelulusan itu akan memanfaatkan 33,586 anggota tentera dengan implikasi kewangan tambahan RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun lalu.
Sebelum ini, katanya, pegawai dan anggota tentera bertukar wilayah menerima BISS dan BISM, namun dua insentif itu lebih rendah berbanding BIW diterima pegawai perkhidmatan awam lain.
“Sedangkan asas pembayaran ketiga-tiga insentif itu sama, iaitu untuk menampung kos sara hidup tinggi serta galakan pegawai dari Semenanjung berkhidmat di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya.”
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan, Timbalan Ketua Menteri III Shahelmey Yahya, Panglima Tentera Darat Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan projek baharu pembangunan semula 49 unit rumah terbiar untuk dijadikan 47 kuarters awam dan sebuah rumah transit Kementerian Pertahanan cawangan Sabah di Taman Lok Kawi bernilai RM25 juta.
Bagi projek sedia ada, katanya, kerajaan memperuntukkan RM213 juta bagi membina Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) tambahan pelbagai kelas di Kem Lok Kawi.
Mengenai projek pembangunan di Putatan, beliau berkata, RM67 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo Ke Sungai Kinarut, selain RM4.8 juta bagi membaik pulih serta menaik taraf aviari di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.
“Kerajaan juga komited membina sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Kawi dengan kos projek RM23 juta yang akan dibangunkan dalam kadar segera,” katanya.