T20 sumbang 85% cukai individu tahun lalu, kata LHDN

T20 sumbang 85% cukai individu tahun lalu, kata LHDN

Cukai syarikat merekodkan RM97.94 bilion bersamaan 55% daripada kutipan keseluruhan kutipan cukai 2022.

Tahun lalu, kutipan cukai individu adalah RM39.26 bilion cukai individu atau 19% jumlah kutipan cukai keseluruhan pada 2022, RM175 bilion. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan T20 menyumbang 85% atau RM33.68 bilion cukai individu dikutip tahun lalu, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, keseluruhannya sejumlah RM39.26 bilion cukai individu atau 19% daripada jumlah kutipan cukai keseluruhan pada 2022, RM175 bilion.

Memetik Utusan Malaysia, beliau berkata, kumpulan M40 pula menyumbang 13% atau RM5.38 bilion cukai individu pada 2022.

“Belanjawan 2023 mengambil pendekatan lebih progresif dengan memperkenalkan langkah cukai baharu bagi meluaskan asas cukai melibatkan beberapa pindaan polisi dan asas cukai baharu diperkenalkan melibatkan golongan M40 dan T20.

“Ia meliputi langkah menurunkan kadar cukai ke atas golongan M40 dan kenaikan kadar cukai ke atas golongan T20 yang akan melibatkan kurang daripada 150,000 pembayar cukai yang dikenakan cukai lebih tinggi.

“Justeru, bagi tahun ini, dijangka jumlah sumbangan cukai golongan T20 akan meningkat sedikit berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, amaun sumbangan cukai dikutip daripada syarikat pula merekodkan RM97.94 bilion bersamaan 55% daripada kutipan keseluruhan kutipan cukai tahun lalu .

Awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Nizom Sairi, berkata agensi itu berada pada landasan tepat untuk mengutip RM176.1 bilion kutipan cukai disasarkan tahun ini.

Setakat ini, katanya, agensi itu sudah mengutip cukai lebih banyak berbanding tahun lalu, sambil menyatakan keyakinan LHDN mampu melepasi sasaran kutipan ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.