Putus tunang motif wanita ditikam sampai mati

Putus tunang motif wanita ditikam sampai mati

Siasatan awal mendapati mangsa memutuskan pertunangan dengan suspek yang berusia 33 tahun, dua hari sebelum kejadian atas alasan peribadi.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Kalsom Idris berkata mangsa berusia 21 tahun ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman pada badan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Berang kerana tidak puas hati ikatan pertunangan diputuskan dipercayai menjadi motif seorang lelaki menikam bekas tunangnya sehingga mati di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa berusia 21 tahun ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman pada badan.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Kalsom Idris, berkata siasatan awal mendapati mangsa memutuskan pertunangan dengan suspek yang berusia 33 tahun, dua hari sebelum kejadian atas alasan peribadi.

Katanya, suspek bagaimanapun sering mengganggu mangsa sehingga mencarinya di tempat kerja kerana tidak puas hati dan mendesak agak hubungan disambung semula.

“Ketika kejadian, mangsa yang juga pembantu kedai aiskrim sedang bekerja seorang diri sebelum didatangi suspek yang dikenalinya selama setahun.

“Suspek dikatakan memujuk mangsa, namun mangsa tidak mahu menerima semula bekas tunangnya itu, menyebabkan suspek mendekati mangsa dan menikam mangsa beberapa kali sehingga mangsa rebah,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Kalsom berkata, mangsa dikatakan sempat menjerit meminta tolong dan didengari anggota keselamatan yang bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, saksi melihat mangsa terlantar di lantai dan suspek berdiri di sebelah mangsa sambil memegang sesuatu serta berlumuran darah.

“Pihak keselamatan kemudian menghubungi polis dan suspek yang juga warga tempatan kemudian berjaya ditangkap di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dengan tertangkapnya suspek, kes dianggap selesai dan pihaknya sedang melengkapkan siasatan sebelum tindakan pendakwaan diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.