Tolak warga emas hingga patah gigi, samun RM2,150

Tolak warga emas hingga patah gigi, samun RM2,150

Polis berkata suspek dipercayai memasuki rumah mangsa berusia 68 tahun melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.

Polis berkata suspek berusia 30-an ditahan tiga jam selepas merompak wanita warga emas.
PETALING JAYA:
Bukan sahaja dirompak malah seorang wanita warga emas turut patah gigi dan tangan terseliuh selepas ditolak seorang lelaki dalam kejadian samun di Kampung Bukit Kenak, Jerteh, Besut.

Ketua Polis Besut, Abdul Rozak Muhammad, berkata dalam kejadian 7 pagi semalam, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa berusia 68 tahun melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.

Katanya, suspek yang juga penagih dadah menutup mulut mangsa dan menolaknya sehingga terjatuh menyebabkan warga emas itu patah gigi dan terseliuh tangan kanan.

“Suspek kemudian melarikan wang tunai RM2,150. Mangsa membuat laporan polis dan bertindak atas maklumat, sepasukan anggota menahan suspek berusia 30-an, tiga jam selepas kejadian.

“Polis turut merampas wang RM500 serta pil disyaki dadah. Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan turut memiliki rekod lampau melibatkan dadah,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Rozak berkata, polis akan memohon perintah reman terhadap lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera ketika merompak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.