
Tetapi, sumber berkata, kerumitan itu boleh dielakkan sejak awal jika bukan kerana “keputusan tidak logik” dibuat pentadbiran terdahulu.
“Berita baik ialah belum terlambat untuk kerajaan menyelamatkan keadaan. Tetapi, keazaman politik diperlukan,” kata sumber yang enggan dinamakan itu kepada FMT.
Beliau berkata, sebenarnya sejak awal lagi, tiada keperluan untuk syarikat tujuan khas seperti DNB melaksanakan 5G.
“Pelaksanaan 5G adalah teknikal dalam banyak cara, tetapi ia tidaklah begitu rumit.
“Anda tidak perlukan entiti baharu menyediakan 5G. Semua penyedia perkhidmatan sedia ada di Malaysia, seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile, semuanya boleh menyediakan perkhidmatan 5G melalui jalur spektrum sedia ada mereka, termasuk yang digunakan untuk 4G.
“Tetapi, keputusan tidak logik kerajaan terdahulu, termasuk arahan menteri bertarikh 31 Mei 2021 dan Piawai Pelan Sistem Radio (SRSP) bertarikh 9 Julai 2021, bermakna mustahil bagi pengendali sedia ada mengambil bahagian dalam pelaksanaan 5G.”
Sumber itu berkata, janji pentadbiran sekarang untuk membuka pelaksanaan 5G kepada penyedia perkhidmatan kedua tidak boleh berlaku sehingga arahan menteri pada 2021 dibatalkan atau diubah suai.
Dari perspektif undang-undang, arahan itu kekal berkuat kuasa sehingga hari ini.
Katanya, belum terlambat untuk kerajaan mengetepikan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) atau dwirangkaian.
“Menteri hanya perlu mengarahkan pengawal selia (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) membatalkan arahan menteri dan SRSP 2021. Semudah itu saja dan dengan serta-merta, syarikat telekomunikasi sedia ada boleh melaksanakan 5G melalui infrastruktur dan jalur sedia ada mereka,” katanya.