
Ketua Misi ME 2023 (ME 2023) yang juga Presiden Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia, Azim Afif Ishak, 33, berkata pihak berkuasa Nepal sudah menutup aktiviti pendakian sepenuhnya ke puncak Everest bermula hari ini.
“Bagaimanapun dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Nepal, pihak kami mendapat ihsan selama lima hari bagi meneruskan misi SAR terhadap Hawari yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, dua dron berteknologi tinggi akan digunakan dalam misi kali ini membabitkan seorang pendaki, Tiong Ling Yang , 30; Pengurus Pasukan ME2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30; dan seorang malim gunung berpusat di Kem Dua kawasan pergunungan itu.
Azim berkata, misi itu dijangka bermula esok dan ia bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa kastam negara berkenaan yang belum memberi pelepasan kepada satu dron dihantar menggunakan khidmat kargo dari Malaysia Sabtu lalu.
“Sekiranya mendapat pelepasan, kami akan bertolak dari Kathmandu ke Kem Dua menggunakan helikopter bagi menyambung misi SAR,” katanya.
Katanya, mereka sebelum ini sudah membawa satu dron yang boleh mengesan sehingga melebihi aras 8,000m dari aras laut serta kawasan berbahaya yang tidak boleh dimasuki anggota penyelamat dan malim gunung.
“Sekiranya ia berjaya mengesan objek, sut pakaian atau kelengkapan lain yang digunakan Hawari, barulah khidmat malim gunung ditugaskan ke kawasan dikenal pasti bagi mendapatkan pengecaman. Ini dapat menjimatkan kos dan lebih efektif.
“Pada masa sama pihak kami juga sudah melantik 10 malim gunung yang sentiasa bersiap sedia untuk melakukan tugasan sekiranya diperlukan.
“Misi SAR selama lima hari ini juga bergantung kepada cuaca. Sekiranya cuaca buruk dan jalan buntu, mungkin kami akan membuat suatu ketetapan sama ada mahu meneruskan atau menamatkan misi SAR. Ia akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.
Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu selepas berjaya menawan puncak gunung dan turun berehat di kem empat.