Kes bunuh, bakar teman wanita hamil, reman suspek akan dilanjut

Kes bunuh, bakar teman wanita hamil, reman suspek akan dilanjut

Polis berkata, permohonan lanjutan reman ke atas lelaki berusia 29 tahun itu akan dibuat hari ini.

Suspek sebelum ini direman enam hari bermula 24 Mei lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Polis akan membuat permohonan lanjutan reman ke atas suspek disyaki membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil, sebelum membakar mayat mangsa di kebun kelapa sawit Jalan Sungai Limau, 23 Mei lalu.

Ketua Polis Sabak Bernam, Agus Salim Mohd Alias, berkata permohonan lanjutan reman ke atas lelaki berusia 29 tahun itu akan dibuat hari ini.

“Lelaki itu sebelum ini direman enam hari (bermula 24 Mei) sehingga esok (hari ini). Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor esok pagi (hari ini),” katanya menurut Harian Metro.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

Menurutnya, menyebar maklumat tidak sahih berhubung kes adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan pihaknya tidak teragak-agak menyiasat mana-mana individu mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Katanya, pendakwaan juga boleh dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat wanita berusia 21 tahun yang dipercayai dibunuh kekasihnya bagi merahsiakan kehamilan mangsa selepas terlanjur.

Kedua-duanya dikatakan menjalin hubungan selama setahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.