
Jurucakap Swatch Malaysia berkata, KDN merampas jam tangan “Pride Collection” dan koleksi lain, lapor New Straits Times.
“Koleksi terbaru memaparkan perkataan: ‘nature, growth, life, passion, healing dan spirit’ sebagai simbol kesamaan.
“Enam daripadanya adalah daripada koleksi baharu 2023 dengan inspirasi warga pelangi, manakala tiga lagi model daripada koleksi sebelum ini,” jurucakap itu dilaporkan sebagai berkata.
Terdahulu hari ini, FMT melaporkan sumber KDN mendakwa pihak berkuasa hanya merampas jam tangan mempunyai huruf “LGBTQ” dalam serbuan di butik Swatch.
LGBTQ merujuk golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik.
“Kami tidak merampas jam tangan itu kerana ia mempunyai warna pelangi. Jika itu berlaku, kami perlu merampas aiskrim Paddle Pop,” kata sumber itu.
Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN dilaporkan menyerbu 11 kedai Swatch di pusat beli-belah seperti Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah berhubung “Pride Collection” jenama itu.
Lima kedai di pusat beli-belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru dan Kuching diberikan amaran.
Serbuan dilaporkan berlaku selepas warganet mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rock British, Coldplay terhadap LGBT.
Jumaat lalu, Malay Mail memetik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek sebagai berkata, jam tangan dirampas KDN tidak mengandungi sebarang rujukan kepada LGBT.
Beliau mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menyatakan jam tangan itu dirampas kerana unsur LGBT, mendapat maklumat salah dan tiada rujukan mengenai LGBT dipaparkan pada permukaan jarum jam tangan.
KDN enggan memulangkan jam tangan yang dirampas dalam serbuan itu.
Hayek dilaporkan berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula jam tangan “Pride Collection”.