Sabah mampu stabil bekalan, harga ikan di Semenanjung pada tengkujuh

Sabah mampu stabil bekalan, harga ikan di Semenanjung pada tengkujuh

Pengerusi LKIM Faiz Fadzil berkata Sabah mempunyai banyak sumber ikan bukan sahaja untuk penduduknya, malah boleh dipasarkan ke pasaran lebih luas.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Faiz Fadzil berkata pihaknya bercadang memodenkan kapal nelayan Sabah bagi meningkatkan tangkapan ikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sabah dilihat berpotensi membekalkan ikan ke Semenanjung bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga, selain menjana pendapatan lebih baik bagi nelayan negeri itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil, berkata Sabah mempunyai banyak sumber ikan, bukan setakat untuk kegunaan penduduknya sendiri, malah boleh dipasarkan ke tempat lain.

Katanya, perkara itu adalah antara idea dilihat LKIM dalam mengembangkan lagi sektor perikanan Sabah, termasuk memperkasa golongan nelayan sejajar agenda keterjaminan makanan.

“Di Sabah ada banyak ikan, jadi hasrat LKIM bantu supaya hasil ikan yang banyak di Sabah ini dapat dibekalkan ke Semenanjung untuk cukupkan bekalan di sana terutama pada musim tengkujuh,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-26 Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) di Kota Kinabalu.

Faiz berkata, tangkapan perikanan Sabah mampu ditingkatkan untuk dipasarkan ke Semenanjung menerusi pemodenan kapal nelayan dengan kerjasama LKIM dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

“Sebab itu kita mahu usaha bersepadu PNK dan LKIM supaya nelayan kita dapat ke laut dalam untuk meneroka sumber yang banyak. Ini antara yang kita lihat boleh mantapkan lagi tangkapan ikan di Sabah,” katanya.

Katanya, beliau sudah mengarahkan LKIM meneliti permohonan membina kilang ais untuk keperluan nelayan Sabah dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) seperti dibuat di Pahang dan Kelantan.

“Kilang ais ini perlu dalam usaha kita meningkatkan bekalan ikan kerana ia adalah elemen penting dalam industri perikanan, selain memastikan harga ais yang murah untuk kemudahan nelayan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.