KKD tubuh pasukan petugas, kembalikan pendapatan iklan media tempatan

KKD tubuh pasukan petugas, kembalikan pendapatan iklan media tempatan

Google dan Meta dikatakan membolot sebahagian besar pendapatan iklan dengan menggunakan kandungan syarikat media tempatan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pihaknya mempertimbangkan mengenakan cukai terhadap syarikat gergasi teknologi dan mengembalikan sejumlah cukai itu kepada syarikat media tempatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menubuhkan pasukan petugas meneliti permintaan industri media tempatan supaya membantu mendapatkan semula hasil perbelanjaan pengiklanan (Adex) daripada syarikat gergasi teknologi antarabangsa.

Google dan Meta antara syarikat gergasi membolot sebahagian besar hasil Adex dengan menggunakan kandungan dihasilkan syarikat media tempatan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata pertimbangan yang boleh diusahakan adalah dari segi aspek percukaian yang dikenakan terhadap syarikat gergasi teknologi berkenaan.

Katanya, ia sedang diteliti dengan lebih mendalam termasuk melalui beberapa kerangka awal sudah diterima pihaknya membabitkan mekanisme diguna pakai di negara lain.

“Saya sudah maklumkan kepada perdana menteri (Anwar Ibrahim) bahawa hasil daripada sesi libat urus antara rakan-rakan media serta pihak KKD dalam beberapa urusan yang menyentuh isu ‘advertising expenditure’ (Adex).

“Ia termasuk apa yang boleh diusahakan dari segi mungkin aspek sama ada percukaian atau usaha untuk mengembalikan serba-sedikit dana Adex atau pun pengiklanan kembali kepada media di Malaysia,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh.

Fahmi berkata, bagi penelitian dan penyesuaian dengan keadaan di Malaysia, pasukan petugas dijangka dibentuk bagi proses libat urus yang lebih mendalam, mengambil masa beberapa bulan.

“Sekiranya kita dapat manfaatkan dan usahakan dengan gigih, kita boleh bawa satu draf ke Pejabat Peguam Negara diikuti ke Jemaah Menteri. Ini bagi saya mungkin satu cara dan ikhtiar yang dapat kita usahakan bersama.

“Penting untuk saya sebutkan kerana sebelum ini kita belum pernah berusaha bersama dengan rakan-rakan industri media untuk melihat satu aspek seperti yang saya sebutkan mengenai Adex,” katanya.

Mengulas berhubung penubuhan Majlis Media, ia dalam fasa akhir menyiapkan draf rang undang-undang (RUU) bagi penubuhan badan itu dan akan dimajukan kepada Pejabat Peguam Negara untuk penelitian sebelum diangkat ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, selepas diterima dan diluluskan di Jemaah Menteri, ia akan dibentangkan di Parlimen dengan jangkaan ia dibentangkan seawal Oktober depan atau selewat-lewatnya pada sidang pertama untuk tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.