KKD ambil perhatian isu hak cipta hasil kerja pengamal media

KKD ambil perhatian isu hak cipta hasil kerja pengamal media

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau menerima aduan hasil pengamal media termasuk gambar dan artikel digunakan sewenangnya di media sosial.

Fahmi Fadzil berkata ada kewajaran perbincangan dengan penyedia platform media sosial dilaksana bagi mengekang isu berbangkit. (Gambar Bernama)
IPOH:
Isu perlindungan hak cipta hasil kerja pengamal media antara akan diambil perhatian Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), selain menjaga kebajikan golongan berkenaan, kata menteri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, di zaman ledakan teknologi kini, terdapat banyak hasil kerja pengamal media, termasuk gambar, dan artikel, digunakan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran, termasuk kandungan di media sosial.

“Saya terima aduan titik peluh rakan wartawan disalah guna, ada (gambar) yang tera air (watermark) dibuang. Ada kewajaran untuk kita adakan satu perbincangan dengan penyedia platform media sosial bagi mengekang isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) di rumah kelab persatuan itu. Turut hadir, timbalannya, Teo Nie Ching serta Presiden PPMP Sayed Hesham Syed Idris.

Sementara itu, isu kebajikan pengamal media seperti cadangan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), juga akan dibawa kepada perbincangan dengan organisasi media dan pihak berkaitan.

Fahmi berkata, ketersambungan internet dan ruang kerja untuk kemudahan media juga akan dibincangkan bersama kerajaan negeri, kelab media setiap negeri, dan agensi terlibat.

“Saya harap dengan adanya libat urus dengan kelab-kelab media setiap negeri, kita akan dapat kumpulkan lebih banyak input supaya kita dapat kenal pasti kekangan dan cabaran yang dihadapi media ketika menjalankan tugas mereka,” katanya.

Beliau seterusnya mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada PPMP untuk digunakan untuk menaik taraf kemudahan di rumah media persatuan itu.

“Harapan saya dengan adanya Rumah Media Perak ini, selain memberi ruang untuk bekerja, ia juga dapat menjadi pusat berkumpul untuk aktiviti dari semasa ke semasa.

“Saya juga berharap dapat dikumpulkan aduan, cadangan dan pandangan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri dan dari segi itu hubungan kerja yang sihat dapat kita pupuk, akhirnya manfaatnya adalah kepada rakyat Perak sendiri,” katanya.

Terdahulu, Fahmi dan Teo meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dengan hampir 100 pengamal media Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.