Belum cadang semak unjuran ekonomi tahun ini, kata Rafizi

Belum cadang semak unjuran ekonomi tahun ini, kata Rafizi

Menteri ekonomi berkata terlalu awal menetapkan kejatuhan nilai ringgit dalam tempoh dua minggu ini memberi kesan kepada unjuran KDNK.

Rafizi Ramli berkata, nilai ringgit rendah ada membawa kebaikan kepada pendapatan negara dan juga sektor minyak yang mana penetapan harga dalam nilai USD.
ISKANDAR PUTERI:
Kerajaan belum bercadang menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini susulan penyusutan mata wang ringgit dua minggu kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan mata wang tempatan itu.

Penyusutan nilai ringgit dua minggu ini disifatkan banyak dipengaruhi oleh hasil perbincangan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS) sekali gus mempengaruhi sentimen pasaran.

“Setakat ini terlalu awal untuk menetapkan bahawa kejatuhan mata wang ringgit untuk satu dua minggu ini akan ada kesan kepada ‘projection’ (unjuran pertumbuhan ekonomi).

“Kita perlu menunggu data-data perdagangan dan ekonomi dalam bulan hadapan, dua bulan lagi kerana yang mempengaruhi unjuran pertumbuhan itu bukan sangat melibatkan kadar nilai ringgit tetapi lebih kepada aktiviti perdagangan (seperti) eksport, import, harga minyak dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.

Rafizi berkata, situasi nilai ringgit sekarang turut membawa kebaikan, contohnya kepada pendapatan negara dan juga sektor minyak memandangkan “pricing” (penetapan harga) adalah dalam nilai dolar Amerika Syarikat.

“Lebih banyak duit kita dapat tetapi contohnya bagi eksport kita (adalah sebaliknya). Jadi, kita akan terus memantau situasi tapi setakat ini tiada sebarang keperluan (untuk menyemak semula unjuran),” kata Rafizi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan penyusutan mata wang tempatan.

Tahun ini, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar empat hingga lima peratus.

Terdahulu, Rafizi menghadiri sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.