6 ditahan berkait kes gaduh di Tampoi

6 ditahan berkait kes gaduh di Tampoi

Semua warga tempatan yang ditahan berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun.

Tangkap layar video pergaduhan berdurasi 28 saat yang tular di media sosial.
JOHOR BAHRU:
Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang berlaku di kawasan Tampoi, malam semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh, berkata semua warga tempatan yang ditahan itu berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun.

Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti dan sedang mengesan beberapa individu masih bebas, dalam kejadian berlaku kira-kira 11.40 malam itu.

“Semua mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 365 KK serta Seksyen 385 KK.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat Risman Sahid di talian 019 7766043,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 28 saat di media sosial yang memaparkan mengenai kejadian pergaduhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.