Wei Chong-Kai Wun tempah slot final Malaysia Masters

Wei Chong-Kai Wun tempah slot final Malaysia Masters

Pasangan itu menewaskan gandingan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam kelompok empat terakhir hari ini.

Man Wei Chong (kiri) dan Tee Kai Wun ketika menentang beregu Indonesia Leo Rolly Carnado dan Daniel Marthin pada perlawanan separuh akhir kejohanan Perodua Malaysia Masters 2023. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pasangan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun semakin hampir merangkul kejuaraan sulung Super 500 mereka pada final Malaysia Masters 2023 selepas menewaskan gandingan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam kelompok empat terakhir hari ini.

Pada perlawanan terakhir di Arena Axiata, aksi gandingan Malaysia sukar diatasi pada awal permainan apabila mendahului dengan kelebihan tujuh mata dan berjaya menangkis serangan pilihan kelapan kejohanan untuk memenangi set pembukaan 21-17.

Set kedua menyaksikan kegigihan dan semangat juang Wei Chong-Kai Wun apabila mereka berusaha menyamakan kedudukan 4-4 selepas ketinggalan 1-4 serta mendahului lawan dengan 11-10 sebelum rehat.

Beregu bukan pilihan itu terus berdepan aksi sengit menentang pasangan Indonesia sebelum pukulan balas Marthin terkena jaring menyebabkan penyokong Malaysia bersorak riang apabila Wei Chong-Kai Wun meraih kemenangan 22-20.

Pasangan beregu nombor 26 dunia itu akan bertemu pemain bukan pilihan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan yang menewaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-18, 12-21, 21-16 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kejayaan di luar jangkaan Wei Chong-Kai Wun menyusuli kemaraan pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah ke final selepas beraksi sengit menentang gandingan Korea Selatan Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong yang berakhir dengan kemenangan 21-19, 23-21.

Kai Wun berkata pada awal permainan, mereka gementar namun bangkit secara perlahan-lahan dan membina keyakinan untuk memastikan kemenangan serta mara ke final.

Beliau berkata, kemenangan Pearly-Thinaah sebelum itu memberi inspirasi kepada mereka untuk turut sama melakar kejayaan.

Wei Chong pula berkata, keputusan hari ini sudah pasti akan dilihat sebagai pencapaian terbaik mereka selepas dibelenggu kecederaan dan prestasi buruk sebelum ini.

“Ini kejayaan dan final Super 500 pertama kami, sebelum ini selalu kalah pada pusingan pertama dan kedua,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.