Tiada siasatan dibuka, Hadi yakin Bersatu ‘bersih’

Tiada siasatan dibuka, Hadi yakin Bersatu ‘bersih’

Presiden PAS berkata dakwaan PN menerima dana daripada syarikat judi untuk membiayai kempen PRU 2022 hanya fitnah dilemparkan PH.

Abdul Hadi Awang yakin Bersatu adalah parti yang ‘bersih dan terus-terang’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Abdul Hadi Awang yakin Bersatu yang juga rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) “bersih”, selepas tiada fail siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima dana syarikat judi.

Presiden PAS berkata, dakwaan gabungan itu menerima dana daripada syarikat judi untuk membiayai kempen PRU 2022 hanya fitnah dilemparkan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, ini dibuktikan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, menyatakan tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat diperoleh setakat ini bersifat umum.

Hadi yakin Bersatu adalah parti yang “bersih dan terus-terang”.

“Tuduhan itu lebih kepada fitnah. Ikut kaedah perundangan sekarang, yang dituduh tak dianggap salah (dan) mesti dibuktikan.

“Kalau berani mereka buktikan. (Kita) tidak mahu tuduhan macam itu. Kita lihat PH banyak lempar tuduhan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Pada 5 Dis lalu, media melaporkan Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Sementara itu, Hadi berkata PAS akan terus bergerak dengan Bersatu dalam PN.

Katanya, PAS sentiasa terbuka bekerjasama dalam gabungan itu dan berharap hanya berdepan saingan dua penjuru pada enam PRN akan datang.

Beliau juga berkata, antara kriteria untuk menjadi calon PAS dalam PRN adalah mesti diluluskan Dewan Ulama dan akhlak serta latar belakangnya mestilah berilmu.

“Kriteria lain seperti melihat pengalaman dan pengaruhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.