Mohon permit khas untuk lanjut tempoh cari Hawari, kata ketua misi

Mohon permit khas untuk lanjut tempoh cari Hawari, kata ketua misi

Ketua Misi Malaysia Everest 2023, Azim Afif Ishak berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan permit khas itu kerana aktiviti pendakian di Everest akan ditutup Isnin ini.

Kehilangan Muhammad Hawari Hashim memasuki hari kesembilan hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia melalui Kedutaan Malaysia di Nepal akan memohon permit khas bagi melanjutkan tempoh pencarian pendaki kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, yang hilang di Gunung Everest sejak 19 Mei lalu.

Ketua Misi Malaysia Everest 2023, Azim Afif Ishak berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan permit khas itu memandangkan aktiviti pendakian di Everest akan ditutup secara rasmi Isnin ini.

Katanya, permit khas itu bagi meneruskan misi mencari dan menyelamat (SAR) Hawari, 33, dengan membawa beberapa teknologi dari Malaysia seperti inframerah, kamera dan pengesan haba serta peralatan berteknologi tinggi lain.

Beliau berkata, SAR sebelum ini yang tertumpu di bahagian atas gunung dikenali sebagai “zon kematian” membabitkan enam malim gunung dan tinjauan melalui helikopter sehingga ketinggian 8,300m dari aras laut, buntu.

“Semalam (kelmarin) juga pencarian digiatkan melalui darat membabitkan enam malim gunung di kawasan kem dua, termasuk pencarian udara menggunakan dua helikopter,” katanya menurut Berita Harian.

Kehilangan Hawari, 33, memasuki hari kesembilan hari ini. Beliau berjaya menawan puncak Everest pada 3.30 petang Khamis lalu (waktu Nepal).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.