CIDB gesa kontraktor pantau pekerja semasa gelombang haba

CIDB gesa kontraktor pantau pekerja semasa gelombang haba

Agensi itu menyarankan agar majikan menyediakan kawasan rehat dan air minuman yang cukup untuk pekerja pembinaan bagi mengelak masalah seperti strok haba.

CIDB khuatir cuaca panas ketika ini berisiko menjejaskan kesihatan pekerja pembinaan.
PETALING JAYA:
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menggesa kontraktor agar memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja semasa musim gelombang haba ini.

Ketua eksekutifnya, Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, cuaca panas dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan pekerja pembinaan.

Minggu lepas, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran gelombang haba tahap satu di lapan daerah di Semenanjung Malaysia, apabila suhu harian mencecah 35°C selama tiga hari berturut-turut.

Pada 16 Mei, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, kerajaan mungkin mengisytiharkan darurat jika keadaan memburuk.

“Kami menggesa syarikat pembinaan agar memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka dengan menyediakan kawasan untuk berehat dan air minuman yang cukup bagi mengelak masalah seperti strok haba,” kata Asri kepada FMT.

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan agar orang dewasa minum sekurang-kurangnya 2.5 liter air setiap hari, dengan tambahan 500ml dalam cuaca panas.

Bagaimanapun, ‘Asri berkata, CIDB tidak akan memantau atau menguruskan kebajikan pekerja dalam tempoh itu kerana perkara terbabit terletak bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Ahmed Zaharani Yusof berkata, pihaknya akan melawat pekerja pembinaan di tapak sekiranya diminta berbuat demikian.

Beliau berkata, lawatan itu untuk memastikan pekerja sentiasa sihat walaupun bekerja dalam cuaca panas.

Jurucakap JKKP mengesahkan kepada FMT bahawa agensi itu tiada garis panduan khusus untuk berdepan situasi gelombang haba.

“Semua mengetahui langkah berjaga-jaga perlu diambil seperti sentiasa menyediakan air mencukupi, tempoh rehat lebih lama dan memastikan pegawai kesihatan dan keselamatan sentiasa berada di tapak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.