
Wong turut mengetuai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) mengenai hubungan antarabangsa dan perdagangan.
Susulan pelantikannya Selasa lalu, Wong menjelaskan beliau tidak akan mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah MDV mengenai pengurusan risiko, pampasan, audit, pembiayaan dan pelaburan.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif C4 Pushpan Murugiah berkata, ia adalah “kelalaian serius dalam tugas” kerana pengerusi MDV sepatutnya mempengerusikan “mesyuarat penting” bagi melindungi kepentingan syarikat.
“Dengan (Wong) tidak menyertai dan mempengerusikan mesyuarat ini, bukankah beliau melepaskan tanggungjawabnya sebagai pengerusi?
“Bukankah ini kelalaian tugas yang serius?” soal Pushpan.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu sepatutnya menolak jawatan dalam MDV jika beliau tahu mengenai konflik kepentingan disebabkan tanggungjawab Parlimennya.
Pada Selasa, Wong mengumumkan pelantikannya sebagai pengerusi bukan eksekutif MDV, entiti milik kerajaan yang menyediakan kemudahan pembiayaan kepada sektor teknologi maklumat dan komunikasi.
Pelantikan itu mengejutkan disebabkan kedudukannya dalam JKPK.
Pushpan berkata, walaupun Wong tidak mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah mengenai isu tertentu, ia tidak menghapuskan kemungkinan wujud konflik kepentingan kerana Wong boleh “mempengaruhi” keputusan lembaga pengarah tanpa mempengerusikan mesyuarat sedemikian.
“Atas semangat ketelusan dan akauntabiliti, bolehkah beliau mendedahkan gajinya untuk jawatan ini?” soalnya.
Terdahulu, badan pemantau pilihan raya, Bersih turut mempersoalkan pelantikan Wong dengan berkata, walaupun beliau layak, Malaysia seolah-olah kekurangan bakat sehinggakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiada pilihan selain melantik Wong.
Bersih berkata, pengumuman Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini mengundang calon berkelayakan memohon jawatan CEO Teraju dan Peneraju perlu dicontohi dan patut menjadi prosedur baharu untuk pelantikan dalam GLC.