
Arahan itu dikeluarkan meskipun perkhidmatan berkenaan dilarang di bahagian pulau negeri itu.
Berdasarkan garis panduan diperoleh FMT yang disahkan MBSP, pemilik pangsapuri dan kondominium yang menyediakan perkhidmatan itu harus berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan serta mematuhi peraturan sama seperti di bangunan komersial.
Pemiliknya juga perlu membayar deposit keselamatan bernilai RM1,000 hingga RM3,000 selain bayaran lain dikenakan badan pengurusan bersama (JMB) atau jawatankuasa pengurusan (MC).
Mengikut dokumen itu, turut dikenakan yuran pendaftaran di antara RM100 hingga RM250 serta bayaran tahunan dari RM250 hingga RM500.
Penyedia perkhidmatan juga perlu mendapat kebenaran sekurang-kurangnya 75% daripada penduduk pada mesyuarat agung tahunan JMB dan MC.
Kediaman bertaraf strata kecuali rumah kos rendah dan sederhana dibeli di bawah harga RM300,000 dibenarkan menyediakan perkhidmatan penginapan jangka pendek.
Bagi pemilik kediaman bertanah pula, mereka perlu membayar yuran dan deposit keselamatan kepada MBPP yang akan meluluskan permohonan berdasarkan kebenaran daripada Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta bomba.
Pemiliknya perlu memperbaharui lesen secara tahunan, bayaran dicadangkan RM1,000 bagi setiap unit, RM50 yuran pengurusan dan RM10 bagi setiap unit kediaman sewa penginapan jangka pendek.
Pulau Pinang baru-baru ini menguatkuasa serta-merta larangan ke atas semua bentuk sewa penginapan jangka pendek, seperti Airbnb atau booking.com, di unit kediaman di pulau itu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPPP), Rajendran Anthony, berkata larangan itu meliputi semua hartanah kediaman persendirian.