
Peguam Marcus Lee, berkata pihaknya telah menerima salinan notis rayuan difailkan Jabatan Peguam Negara.
“Bagaimanapun, kami tidak mengetahui permohonan rasmi dibuat Jabatan Peguam Negara untuk menangguh perintah Mahkamah Tinggi minggu lalu sementara menunggu rayuan didengar,” katanya kepada FMT.
Pada 18 Mei, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memerintahkan JPN mengeluarkan sijil kelahiran dalam tempoh 30 hari sejajar status warganegara kanak-kanak lelaki berkenaan.
Dalam keputusannya, Wan Ahmad Farid menyebut laporan DNA, yang tidak dipertikaikan oleh JPN, mengesahkan pemohon adalah bapa kandung kanak-kanak itu.
Keputusan itu disampaikan secara dalam talian dengan Wan Ahmad Farid berpendapat, kanak-kanak lelaki itu telah memenuhi semua keperluan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan yang dibacakan dengan perenggan 1(a) Bahagian II kepada Jadual Pertamanya, menjadikannya warganegara “melalui kuatkuasa undang-undang.”.
Sebelum memfailkan saman itu, bapa kepada kanak-kanak lelaki itu, pada November 2021, memohon kepada JPN mengeluarkan sijil kelahiran anaknya bagi mendapatkan status kewarganegaraan, namun tidak menerima jawapan.
Walaupun surat tuntutan dihantar pada Mac tahun lalu, JPN menolak permohonannya.
Plaintif kemudian memfailkan semakan kehakiman pada Jun tahun lalu, memohon pengisytiharan bahawa kanak-kanak lelaki itu adalah warganegara Malaysia melalui kuatkuasa undang-undang.
Dalam afidavit menyokong permohonan dibuat pada Jun tahun lalu, bapa kepada kanak-kanak lelaki itu yang juga penjaja berusia 27 tahun, berkata anaknya dilahirkan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada Julai 2018, sebulan sebelum mendaftarkan perkahwinannya bersama wanita warga Vietnam.
Bagaimanapun, sijil kelahiran dikeluarkan JPN mengklasifikasikan budak itu sebagai bukan warganegara.