
Hannah berkata, keadaan itu menyebabkan 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan kerana tiada peruntukan khas disediakan bagi program latihan senior bawah program podium.
Katanya, ketidakstabilan politik yang menyaksikan pertukaran tiga menteri juga menyebabkan berlaku perubahan bajet, fokus dan ahli lembaga pengarah.
“Dalam Bajet 2022 tidak dinyatakan peruntukan untuk program podium, menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet untuk temasya sukan utama seperti Sukan SEA Vietnam, Sukan Birmingham dan Sukan Asean.
“Pada masa sama, MSN terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan supaya prestasi atlet dalam latihan tidak terjejas,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Hannah menjelaskan kenyataannya bahawa ketidakstabilan politik punca pencapaian buruk Sukan SEA di Kemboja 2023, sedangkan negara lain yang mengalami pergolakan politik mampu menunjukkan prestasi lebih baik.
Mengulas lanjut, Hannah berkata punca dinyatakan itu diakui sendiri oleh atlet dan persatuan sukan kerana isu bajet boleh menjejaskan latihan mereka.
“Apabila ada elaun dan gaji tertangguh, ia akan beri kesan kepada latihan terutama jika ada yang perlu ke luar negara,” katanya.