Diperdaya ‘kenalan lama’, wanita rugi RM180,000

Diperdaya ‘kenalan lama’, wanita rugi RM180,000

Wanita itu menjadi mangsa penipuan pelaburan yang menawarkan keuntungan 5% setiap minggu.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu atau memperdayakan seseorang bagi menyerahkan harta atau wang. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Seorang wanita kerugian RM180,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan wang dan emas tahun lalu.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata wanita berusia 43 tahun itu yang membuat laporan polis semalam, mendakwa skim pelaburan tersebut ditawarkan seorang lelaki yang juga kenalan lamanya pada Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, lelaki itu menawarkan skim pelaburan dengan pulangan sebanyak 5% pada setiap minggu berdasarkan jumlah wang tunai atau nilai emas yang dilaburkan.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu melaburkan wang tunai ke dalam akaun kenalannya pada Ogos hingga Oktober tahun lalu.

“Selain itu, mangsa turut menyerahkan pelbagai barangan kemas dan sebuah kenderaan dengan anggaran keseluruhan pelaburan sebanyak RM260,000,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun mangsa hanya menerima pulangan balik sebanyak RM80,000 bagi tempoh Ogos tahun lalu hingga Februari tahun ini sebelum lelaki terbabit gagal dihubungi.

“Selepas tempoh itu, mangsa tidak menerima sebarang pulangan balik dan lelaki itu memberikan pelbagai alasan sebelum gagal dihubungi. Mangsa dipercayai mengalami kerugian sebanyak RM180,000,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekali gus menjelaskan siasatan menyeluruh akan dibuat termasuk kemungkinan penglibatan keldai akaun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.