
Pakar kesihatan dan keselamatan, Wong Soo Kan, berkata walaupun JKKP mempunyai garis panduan mengenai pengurusan tekanan haba di tempat kerja, fenomena gelombang haba yang sedang melanda seluruh negara pada masa ini adalah sesuatu yang “sangat berbeza” dan memerlukan perhatian khusus.
Difahamkan bahawa JKKP tidak mempunyai sebarang garis panduan khusus berkaitan dengan gelombang haba.
Minggu lepas, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran gelombang haba tahap satu bagi lapan daerah di Semenanjung, selepas suhu harian mencecah 35°C hingga 37°C selama tiga hari berturut-turut.
“Ketika gelombang haba semasa, JKKP harus menyarankan langkah-langkah bagi meminimumkan pendedahan kepada gelombang haba dan mengenal pasti langkah berjaga-jaga yang perlu diambil, serupa garis panduan yang dikeluarkan ketika wabak Covid-19,” kata Wong kepada FMT.
“Mungkin JKKP boleh melihat kepada membahagikan pekerja kepada dua kumpulan, dengan satu kumpulan bekerja selama empat jam dalam persekitaran tekanan haba, dan kumpulan lain bekerja pada waktu selebihnya dalam persekitaran biasa.”
Wong, yang terlibat dalam industri keselamatan dan kesihatan pekerjaan sejak 1980-an, berkata beliau terkejut JKKP tidak menerbitkan garis panduan untuk mengehadkan waktu bekerja dalam persekitaran tekanan haba.
Sementara itu, ahli majlis Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) A Sivananthan menyeru majikan dan JKKP agar mengambil lebih banyak langkah untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja dalam musim gelombang haba.
Mengambil kilang pembuatan sebagai contoh, beliau berkata, masih ramai majikan enggan memasang penyaman udara di premis mereka.
“Mereka fikir gelombang haba ini mungkin fenomena sementara, jadi mengapa perlu berbelanja lebih?” katanya.
Sivananthan berkata, pekerja juga takut mereka akan dihukum jika mengadu mengenai keadaan panas kepada pengurus mereka.
Beliau menyeru JKKP agar lebih kerap melawat tempat kerja untuk melihat bagaimana pekerja menghadapi situasi itu.