Ahli Parlimen pembangkang ‘jahil’ mengenai isu bunuh diri, kata Yii

Ahli Parlimen pembangkang ‘jahil’ mengenai isu bunuh diri, kata Yii

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu kecewa Dr Ahmad Yunus Hairi tidak menyandarkan kenyataannya atas fakta, sains mahupun data, walaupun mempunyai latar belakang perubatan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata, sebagai seorang doktor, Dr Ahmad Yunus Hairi sepatutnya lebih memahami isu kesihatan mental.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan menyelar Ahli Parlimen pembangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi, atas “kejahilannya” ketika membahaskan usul menyahjenayah percubaan membunuh diri di Dewan Rakyat.

Pada Isnin, Ahli Parlimen Perikatan Nasional Kuala Langat itu mengaitkan kekerapan kejadian bunuh diri yang tinggi dalam kalangan rakyat berpunca daripada kurangnya kesedaran bahawa percubaan membunuh diri adalah satu kesalahan jenayah.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, beliau kecewa kerana Yunus tidak menyandarkan kenyataannya atas fakta, sains atau data yang terbukti walaupun mempunyai latar belakang perubatan.

“Sebagai doktor, beliau harus lebih memahami isu kesihatan mental, dan mempunyai perasaan belas kasihan dan empati dalam memberikan sokongan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya.

Ketua Pemuda PH itu berkata, Seksyen 309 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda bagi seseorang yang disabitkan atas kesalahan itu, ialah undang-undang kuno yang terbukti tidak berjaya memerangi bunuh diri.

“Peningkatan percubaan membunuh diri, malah tindakan bunuh diri sendiri, bukan disebabkan undang-undang itu tetapi kerana kurangnya sokongan dan stigma yang dikaitkan dengan akta itu,” kata Yii kepada FMT.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai kecenderungan membunuh diri harus dilayan dengan empati dan belas kasihan dan mesti diberi akses kepada sokongan, bukan dianggap penjenayah.

Pengarah Publisiti Befrienders Kuala Lumpur Ardy Ayadali berkata, kenyataan Yunus tidak tepat kerana mereka yang mempunyai kecenderungan membunuh diri hanya ingin menghentikan kesakitan yang mereka rasakan.

“Saya harap kita boleh terus membantu golongan ini kerana apa yang mereka perlukan sebenarnya ialah bantuan dan sokongan,” kata Ardy.

Pindaan itu diluluskan pada Isnin, dengan Timbalan Menteri Undang-Undang Ramkarpal Singh berkata, ia akan menghapuskan stigma yang menyelubungi mereka yang cuba membunuh diri dan membolehkan mereka mendapatkan rawatan perubatan dan bentuk bantuan lain.

Tahun lepas, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kadar kejadian bunuh diri di Malaysia meningkat 81% pada 2021 kepada 1,142 kes, berbanding 631 kes pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.