Polis siasat elemen kongsi gelap kes buli pelajar di P Pinang

Polis siasat elemen kongsi gelap kes buli pelajar di P Pinang

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata pihaknya akan mengambil tindakan jika siasatan menjurus kepada pembabitan kongsi gelap.

Polis berkata kertas siasatan berhubung insiden buli itu akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya sebaik siasatan selesai. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat dakwaan wujud elemen kongsi gelap dalam dua kejadian buli membabitkan pelajar sebuah sekolah menengah di Butterworth, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin, berkata pihaknya akan mengambil tindakan jika siasatan itu menjurus kepada pembabitan kongsi gelap.

“Bagi kes itu, memang sudah ada tangkapan serta dibebaskan dengan jaminan polis disebabkan suspek terdiri dalam kalangan pelajar.

“Kita akan lihat sama ada ia menjurus kepada kegiatan kongsi gelap di sebalik kejadian dan jika ada, tindakan akan diambil terhadap kongsi gelap di sekolah itu,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas majlis perhimpunan bulanan dan amanat ketua polis negeri di IPK Pulau Pinang.

Khaw berkata, kertas siasatan berhubung insiden itu akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya sebaik siasatan selesai.

Jumaat lalu, polis menahan sembilan pelajar bagi membantu siasatan kes buli yang dilapor berlaku di sekolah menengah di Butterworth, dan semuanya dibebaskan dengan jaminan pada hari sama.

Lapan daripada yang ditahan masih bersekolah manakala seorang lagi tidak bersekolah.

Kejadian turut tular di media sosial menerusi dua pergaduhan berasingan di sekolah sama, yang memaparkan seorang pelajar lelaki ditumbuk serta ditendang bertubi-tubi beberapa murid dipercayai berlaku di tandas sekolah berkenaan.

Difahamkan, dakwaan wujud unsur kongsi gelap tercetus selepas polis menahan seorang lelaki berusia 16 tahun yang tidak bersekolah dan dipercayai turut terlibat dalam insiden itu.

Dalam pada itu, mengulas kejadian buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Khaw berkata lima pelajar Tingkatan 5 ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan kes buli seorang pelajar Tingkatan 3 sekolah berkenaan.

Kejadian pada 11 malam itu berlaku di tandas lelaki blok B bangunan sekolah apabila seorang pelajar Tingkatan 3 dipukul dengan alasan lambat turun solat Subuh.

Ketua Polis Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal, berkata semua pelajar berkenaan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.