
Kejadian 11.20 malam itu mencemaskan beberapa pelanggan dan pekerja sebuah kedai makan.
Pekerja, Muhammad Hafizol Naim Dilas, 26, berkata dia sedang mencuci pinggan mangkuk dan terdengar dentuman kuat di depan kedai.
“Terkejut dengar bunyi dentuman itu, saya menoleh ke luar jalan sebelum nampak sebuah kereta terbalik dekat kedai.
“Saya terus lari keluar dan menyelamatkan pemandu dengan menariknya keluar dari tempat duduk dan membawanya masuk berehat dalam kedai.
“Pemandu itu hanya cedera ringan, tetapi saya hubungi ambulans kerana dia dakwa sakit dada,” katanya menurut Harian Metro.
Menurutnya, kereta itu dikatakan terbabas dan melanggar beberapa kereta pelanggan di depan kedai sebelum terbalik.
Beliau percaya jika tiada kenderaan di depan kedai, kemungkinan besar Perodua Myvi itu terbabas hingga ke dalam kedai.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Shihabuddin Deraman, 54, berkata anaknya, Muhammad Firdaus, 26, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gelugor selepas bermain futsal.
Katanya, dia menerima berita kemalangan anaknya daripada seorang individu sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Mungkin dia mengantuk. Syukur dia hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital selepas mengadu sakit dada. Harap dia tidak mengalami kecederaan dalaman.”