MoU ketika Anwar ke China ‘antara perniagaan dengan perniagaan’, jelas Zafrul

MoU ketika Anwar ke China ‘antara perniagaan dengan perniagaan’, jelas Zafrul

Menteri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kementeriannya akan menganalisis kekuatan syarikat tempatan yang terbabit dengan MoU dan memastikan perjanjian tidak beri implikasi buruk kepada kerajaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjawab dakwaan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani bahawa sebahagian syarikat yang menandatangani MoU itu “tidak mempunyai rekod prestasi”.
PETALING JAYA:
Memorandum persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika lawatannya ke China baru-baru ini antara perniagaan dengan perniagaan, kata Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menteri pelaburan, perdagangan, dan industri itu berkata syarikat yang ingin membuat kerjasama dengan syarikat lain semestinya harus menjalankan tapisan latar belakang terlebih dahulu, bagi melindungi perniagaan daripada kerugian.

Beliau berkata demikian di Twitter, menerusi video bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh bekas menteri kewangan II, Johari Ghani, mengenai syarikat-syarikat yang menandatangani MoU semasa lawatan Anwar ke China.

Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa itu, daripada 19 MoU yang ditandatangani ada beberapa syarikat “tidak mempunyai rekod prestasi”, dan meminta kementerian menjelaskan adakah syarikat terpilih telah ditapis.

“MoU ini antara perniagaan dengan perniagaan. Kalau kita ada syarikat dan kita ingin membuat kerjasama dengan syarikat tempatan lain pun, mesti kita tapis dulu latar belakang syarikat lagi satu,” kata Zafrul di Twitter.

“Inikan pula hendak buat kerjasama dengan syarikat asing dengan nilai projek yang cecah bilion ringgit. Lagilah kena periksa sebab kalau perniagaan tak jadi, yang rugi nanti syarikat kita, bukan kerajaan.”

Anwar memulakan lawatan rasmi empat hari ke China pada 29 Mac lepas, untuk mempertingkatkan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana menteri menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China, antaranya daripada 19 memorandum persefahaman yang dimeterai antara perniagaan dari kedua-dua negara.

Berhubung MoU yang ditandatangani, Zafrul menjelaskan sebarang memorandum yang bakal disaksikan perdana menteri akan dinilai terlebih dahulu oleh suatu jawatankuasa penilaian MoU yang terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi.

Menjelaskan tanggungjawab kementeriannya, Zafrul berkata ia akan menganalisis kekuatan syarikat tempatan yang terbabit dengan MoU itu, sementara pejabat undang-undang akan memastikan perjanjian tidak akan beri sebarang implikasi buruk kepada kerajaan.

“Selepas selesai penilaian, syarikat tempatan yang terbabit akan dimaklumkan sama ada permohonan mereka diterima atau ditolak,” katanya, dan menambah keseluruhan proses penilaian ini diguna pakai sejak dahulu lagi.

Dalam pada itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan mengambil kira faedah yang diperoleh terhadap aspek perdagangan negara, manakala Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) meneliti aspek pelaburan negara, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.