Misi cari Hawari tumpu di zon kematian

Misi cari Hawari tumpu di zon kematian

Kehilangan pendaki OKU itu memasuki hari keenam hari ini.

Muhammad Hawari Hashim berjaya menawan Everest pada 3.30 petang Khamis lalu (waktu Nepal). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim memasuki hari keenam hari ini dan tertumpu di bahagian gunung dikenali sebagai zon kematian.

Ketua Misi Malaysia Everest 2023 (ME2023), Azim Afif Ishak, berkata Hawari berada di kem empat selepas berjaya menawan Everest pada 3.30 petang Khamis lalu (waktu Nepal).

Selepas tiba di kem empat kira-kira 1.30 pagi Jumaat (waktu Nepal), katanya, Hawari meminta malim gunung memeriksa seorang lagi pendaki Malaysia, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang menghadapi masalah kesihatan pada ketinggian 8,000m dari aras laut.

Beliau berkata, Hawari, 33, memaklumkan malim gunung bahawa dia tidak berdepan masalah dan malim gunung meninggalkan bekalan tangki oksigen boleh bertahan sehingga 12 jam dengan Hawari.

“Selepas malim gunung kembali ke kem empat, dia mendapati Hawari tiada di sana dan dia turut memeriksa kawasan sekitar, namun tidak menjumpainya dan keadaan cuaca ketika itu kurang baik,” katanya menurut Harian Metro.

Hawari berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di muzium negeri itu. Misi ME2023 adalah cubaan keduanya menawan puncak Everest selepas tertangguh tahun lalu akibat faktor cuaca.

Azim beranggapan Hawari yang sangat prihatin dengan rakan-rakan, naik ke atas semula untuk memeriksa dan bertemu Awang Askandar.

Beliau berkata, pihaknya mula mengaktifkan misi SAR pada 11 pagi Jumaat (waktu Nepal) dengan bantuan lapan malim gunung untuk mencari di Kem Induk Everest, kem tiga hingga enam, selain tinjauan melalui udara.

“Misi SAR ini turut dibantu 20 sukarelawan, namun hanya malim gunung berpengalaman boleh melakukan pencarian di kem empat kerana kawasan ini berbahaya,” katanya sambil menambah berdasarkan maklumat malim gunung, mereka menjumpai 18 mayat dan dalam proses mengenal pasti identiti mangsa korban.

Katanya, misi SAR turut mengesan telefon bimbit Hawari dengan bantuan pihak berkuasa Nepal, termasuk jam tangan Suunto yang dipakainya melalui bantuan pihak berkuasa Finland, namun tidak berhasil.

“Dua hari lalu, kami juga memaklumkan pihak berkuasa Tibet sekiranya pendaki yang naik dari bahagian itu melihat atau bertemu Hawari untuk segera memaklumkan kami.

“Saya yakin Hawari masih hidup kerana dia mempunyai bekalan makanan mencukupi serta dilengkapi sut yang mampu bertahan cuaca sejuk sehingga 60 darjah celsius dan pencarian akan diteruskan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.