
Susulan itu Lembaga Urus Air Selangor mengaktifkan Kod Kuning susulan insiden berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, selepas perkara itu dikesan dan kod diaktifkan berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air selepas menerima maklumat orang awam mengenai insiden tersebut melibatkan beberapa premis di sekitar Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, kira-kira 12.30 tengah hari semalam.
Katanya, permasalahan kualiti air itu berpotensi memberi gangguan kepada operasi loji rawatan air (LRA) Semenyih.
“Pemeriksaan mendapati ada aliran yang berpotensi menjejaskan kualiti Sungai Kabul yang berada 200 meter dari lokasi berkenaan.
“Selain efluen mengalir keluar dari sebuah premis, terdapat air berbau di kawasan itu dan tiada sistem pengumpulan air sisa yang disyaki dilepaskan ke kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Hee berkata, Lembaga Urus Air Selangor mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis itu bagi menghentikan pelepasan efluen secara serta merta.
“Kawasan itu juga perlu segera dipulihkan kerana berisiko tinggi menghasilkan air sisa yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran.
“Selain itu, LRA Semenyih yang berada kira-kira 17 kilometer berisiko dihenti tugas jika berlaku pelepasan air yang banyak dalam tempoh masa lama,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan insiden itu dibuka mengikut Seksyen 79(1)(c) Enakmen LUAS 1999.