
Katanya, hasil perbincangan kerangka itu yang membabitkan pelbagai jawatankuasa akan dibentangkan di Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan.
Beliau tidak menolak kemungkinan perincian mengenai kerangka itu akan dimaklumkan dalam sesi pembentangan Belanjawan 2024.
“Pelaksanaannya sudah pun dibuat secara berperingkat dengan golongan T20 ketika ini tidak lagi menerima subsidi penggunaan elektrik dan menunaikan haji.
“Bagaimanapun, kita masih meneliti mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi ini secara menyeluruh, termasuk sama ada mahu menggunakan kad pengenalan atau khas mahupun bergantung kepada kapasiti enjin kenderaan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani Perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali mengenai Cukai Atas Pendapatan dan Pencegahan Pelarian dan Pengelakan Cukai (PPPDK) di bangunan Parlimen.
Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, subsidi bersasar, termasuk petrol RON95 dan diesel dijangka dilaksanakan mulai tahun depan, di mana pelaksanaan secara berperingkat akan dimulakan dengan subsidi diesel.
Ia disusuli pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam bahawa golongan T20 tidak akan menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik dan bantuan kewangan haji.
Ahmad berkata, jawatankuasa khas pelaksanaan inisiatif itu ada membincangkan saranan pakar ekonomi supaya kerajaan tidak hanya bergantung kepada pendapatan bulanan, tetapi turut mengambil kira jumlah tanggungan T20.
“Kita memang ambil kira golongan T20 peringkat bawah yang akan disesuaikan nilai pendapatan bulanan dengan jumlah tanggungan mereka. Mungkin akan ada pertimbangan khusus bagi golongan ini, tetapi ia tidak terpakai bagi golongan T20 kelas menengah atau atas.
“Perkara ini masih diperhalusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi pelaksanaan pemberian subsidi bersasar,” katanya sambil menambah belum ada keputusan dimuktamadkan setakat ini.