Beli filem Anwar, tayang percuma, Ahli Parlimen PAS beritahu RTM

Beli filem Anwar, tayang percuma, Ahli Parlimen PAS beritahu RTM

Cadangan itu turut mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen lain sambil menepuk meja.

Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman mencadangkan RTM membeli filem Anwar: The Untold Story dan menayangkannya secara percuma. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PAS mencadangkan RTM membeli filem biopik Anwar: The Untold Story supaya kerajaan tidak perlu mengarahkan pelajar sekolah menontonnya di pawagam.

Ia dibuat Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) ketika membahaskan Rang Undang-undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 di Dewan Rakyat.

“Saya mencadangkan RTM membeli terus filem (Anwar: The Untold Story) dan tayangkan secara percuma tanpa perlu menggunakan budak (murid) sekolah dan juga kakitangan kerajaan, mengeluarkan surat rasmi menjemput mereka menonton di pawagam bersama menteri dan pegawai tinggi kerajaan,” katanya.

Cadangan itu turut mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen lain yang menepuk meja.

Malah Latiff turut berkata, kerajaan juga boleh menjemput Ahli Parlimen lain, cuma perlu mengeluarkan surat rasmi “untuk menonton filem yang penuh bersejarah”.

Terdahulu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5 (1) mengesahkan program menonton filem Anwar: The Untold Story bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sebuah pawagam di Putrajaya malam tadi.

Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat, berkata program itu atas jemputan kementerian dan tiada paksaan kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah tersebut, sambil menyifatkan ia sebahagian proses pembelajaran di luar bilik darjah.

Suziyah berkata, aktiviti itu tidak wajar dipolitikkan kerana ia mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu, selain kandungan filem itu juga berkait silibus pembelajaran Tingkatan 6 yang menyentuh isu rasuah dan pentadbiran negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.