
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata tahun lalu sebanyak RM745,850 ketirisan dilaporkan membabitkan 70 kes namun jumlah itu tidak besar berbanding RM1.84 bilion kos subsidi ditanggung kerajaan kepada nelayan.
“Berdasarkan jumlah kesalahan diesel bersubsidi nilai ketirisan subsidi diesel nelayan pada 2022 adalah RM745,850 berbanding nilai subsidi yang ditanggung oleh kerajaan iaitu RM1.84 bilion jadi maksudnya kes ketirisan bukan sebesar apa yang Bukit Gantang katakan,” katanya menjawab pertanyaan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) di Dewan Rakyat.
Syed Abu Hussin meminta kerajaan menyatakan langkah bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel kepada nelayan.
Foong berkata, bagi membendung isu ketirisan subsidi diesel kerajaan melalui agensi penguatkuasa akan meningkatkan pemantauan.
“Mulai 1 Mac hingga Ogos 2023 kerajaan melancarkan Ops Tiris bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan juga menghentikan pemberian subsidi kepada bot nelayan kelas C2 sejak 2019.