
Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mencelah rakan segabungan, Dr Halimah Ali (PN-Kapar), ketika beliau mempersoalkan adakah “pegawai intervensi krisis” seperti polis dan bomba diberi latihan secukupnya untuk menangani kes cubaan bunuh diri.
“Pasir Salak nak mencadangkan bahawa golongan LGBT juga dimasukkan dalam masalah kesihatan mental,” katanya, tanpa huraian lanjut. “Bersetujukah Kapar dengan Pasir Salak?”
Halimah yang mempunyai latar belakang perubatan tidak mengupas cadangan rakannya itu, sekadar mengatakan ia akan dianggap sebagai sebahagian ucapannya.
“Terima kasih Pasir Salak, kira masuklah itu dalam ucapan saya,” katanya.
FMT sedang mendapatkan ulasan Halimah berhubung cadangan itu.
Menyambung perbahasannya, Halimah berkata pegawai perubatan dan pembantu perubatan harus dimasukkan dalam senarai “pegawai intervensi krisis” di samping polis, maritim, bomba, bomba bantuan, Agensi Pertahanan Awam, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Sudah tentu mereka lebih memahami situasi dan kecelaruan mental,” katanya.
Sementara itu, Chiew Choon Man (PH-Miri) menyangkal cadangan Jamaludin kerana penilaian lebih wajar diserahkan kepada profesional perubatan, bukan ahli politik.
Beliau mengingatkan semua pihak menangani isu kesihatan mental secara serius dan profesional.
“Tidak sesuai kita mengatakan siapa-siapa atau mana-mana sebagai mempunyai masalah kesihatan tanpa asas perubatan atau pandangan profesional perubatan,” katanya.