
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood, berkata pasukan itu akan dipengerusikan oleh pihak ST yang dianggotai ahli dalam jawatankuasa kanun negeri dan Labuan iaitu Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Petronas serta agensi lain berkaitan.
“Pasukan petugas khas ini akan memantau setiap hari operasi (bekalan elektrik), 24 jam sehari, memantau keseimbangan permintaan dan pengeluaran (elektrik) jidar simpanan bagi memastikan bekalan elektrik stabil dan berterusan kepada pelanggan,” katanya pada sidang media di Pusat Agihan Elektrik SESB.
Razib berkata, pembentukan pasukan petugas khas itu adalah salah satu usaha untuk meningkatkan jidar simpanan bekalan tenaga elektrik di negeri itu ke tahap telah ditetapkan.
Beliau berkata, antara punca penurunan jidar simpanan elektrik di negeri ini adalah penggunaan tenaga elektrik pada waktu puncak iaitu antara 11 pagi hingga 3 petang dan 7 hingga 9 malam.
Justeru insentif bagi penggunaan generator oleh pengguna atau pelanggan pada waktu puncak akan ditambah baik berdasarkan skim telah ditetapkan oleh SESB.
“Bagi yang tidak ada generator, mereka digalakkan untuk beroperasi di luar waktu kemuncak dan kita akan beri insentif seperti pemberian diskaun tapi perkara itu akan diperincikan esok dalam pasukan petugas khas.
“Kalau dipersetujui, kita akan muktamadkan secepat mungkin untuk elakkan catuan elektrik,” katanya.