
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata penggubalan akta itu mengambil kira keperluan mengekang aktiviti berkenaan di semua sektor ekonomi dengan pelaksanaannya dibuat secara rentas kementerian.
“Malaysia ketika ini belum ada undang-undang bersifat anti-ulat tiket. Oleh demikian, kita akan teliti bersama kementerian lain yang mungkin menganjurkan aktiviti atau program, membabitkan aspek penjualan tiket secara dalam talian atau tunai.
“Kita akan melihat kepada peruntukan perundangan yang perlu diwujudkan bagi mengelak isu berkaitan ulat tiket ini timbul di masa hadapan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub di lobi Parlimen.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, proses itu akan mengambil kira peruntukan perundangan serta pengalaman pelbagai insiden berkaitan ulat tiket di Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang akan disesuaikan dengan situasi di negara ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kewujudan akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay namun dikatakan dikendalikan oleh “scammer”.
Selain itu, terdapat juga pihak menjual semula tiket konsert kumpulan rock British itu pada harga mencecah RM43,200 sekali gus mengundang kecaman.
Fahmi berkata, proses penggubalan akta baharu akan dibuat sejurus siasatan berkaitan aktiviti ulat tiket bagi penjualan tiket konsert Coldplay selesai.
Ini kerana, katanya, hasil siasatan itu mungkin memberi gambaran lebih jelas bagi merangka perincian peruntukan perundangan diperlukan, selain perlu melaksanakan perbincangan bersama agensi dan kementerian berkaitan.
Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya menerima 28 aduan tidak rasmi yang mendakwa wujudnya penjualan semula tiket Coldplay menerusi muat naik di pelbagai platform media sosial yang bersifat umum.
Beliau turut menyeru pembeli tiket kumpulan muzik terkemuka itu membuat aduan rasmi bersama bukti kepada KPDN jika yakin menjadi mangsa penipuan.