
“Implikasi kepada kerajaan dikurangkan besar kerana penglibatan syarikat telekomunikasi,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Anwar, yang juga menteri kewangan menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang), yang ingin tahu sama ada keputusan untuk berpindah daripada rangkaian borong tunggal akan menyebabkan kerugian.
Beliau berkata, walaupun keputusan menukar kepada dwirangkaian sukar dibuat kerana tekanan pelbagai pihak, Jemaah Menteri tetap meneruskannya demi keselamatan negara dan kebebasan memilih, dengan syarat-syarat ketat.
Putrajaya bersetuju untuk membenarkan penyedia perkhidmatan 5G kedua pada 3 Mei, dengan peralihan kepada dwirangkaian akan dimulakan dalam Fasa 2 pelaksanaan rangkaian 5G.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata ini akan berlaku selepas 80% liputan ke kawasan berpenduduk dicapai oleh Digital Nasional Bhd (DNB). Putrajaya bersetuju untuk meneruskan rangkaian borong tunggal melalui DNB sehingga masa itu.
Anwar berkata, kerajaan tidak akan berkompromi isu akses internet kerana ia merupakan keperluan asas untuk orang awam.
Menggambarkan liputan perkhidmatan telekomunikasi dan kelajuan rangkaian sebagai “tidak memuaskan”, Anwar berkata rangka kerja dan peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan diperkukuhkan supaya “tindakan tegas dapat diambil tanpa rasa takut atau berat sebelah terhadap mereka yang gagal menyampaikan perkhidmatan berkualiti”.
“Kerajaan tidak akan berkompromi kerana internet kini merupakan keperluan asas untuk orang awam, sama seperti air dan elektrik,” katanya.
Beliau berkata, salah satu bidang utama sedang dikaji semula adalah kelajuan minimum jalur lebar mudah alih, yang kini berada pada 2.5Mbps.
Anwar berkata, kerajaan bertujuan untuk meningkatkan kelajuan minimum ini kepada 100Mbps menjelang 2025, selaras matlamat ditetapkan dalam Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).