Dewan Rakyat lulus pindaan Akta Kesihatan Mental kekang bunuh diri

Dewan Rakyat lulus pindaan Akta Kesihatan Mental kekang bunuh diri

Lebih 50 pegawai polis dan bomba sudah diberikan latihan intervensi oleh Kementerian Kesihatan pada 2022.

Ramkarpal Singh berkata, mangsa atau pemilik premis rosak boleh mengambil tindakan sivil untuk kerajaan membayar balik kos pembaikan atau mengganti kerosakan berlaku.
PETALING JAYA:
Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Kesihatan Mental dengan satu daripada klausa memberi kuasa pegawai intervensi memecah masuk premis bagi menghentikan cubaan membunuh diri.

Dalam ucapan penggulungan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, membangkitkan beberapa kebimbangan disuarakan Ahli Parlimen, berhubung latihan dan kemungkinan salah guna kuasa oleh pegawai intervensi.

Dalam jawapannya berhubung latihan pegawai dalam menangani kecelaruan mental atau mereka yang cuba membunuh diri, Ramkarpal berkata, Kementerian Kesihatan sudah membangunkan modul latihan kepada petugas barisan hadapan dalam mengekang kejadian membunuh diri.

“Menguruskan cubaan bunuh diri memerlukan latihan dan kepakaran. Pada 2022, Kementerian Kesihatan melatih lebih daripada 50 pegawai polis dan bomba di bawah modul berkenaan.

“Latihan melibatkan kemahiran komunikasi dan memujuk. Ia termasuk latihan berterusan untuk meningkatkan kemahiran pegawai intervensi menangani cubaan bunuh diri,” katanya.

Beliau berkata, pegawai terbabit, daripada polis, Jabatan Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, mempunyai budi bicara bertugas seorang diri atau dalam kumpulan dalam menghentikan cubaan membunuh diri.

Berhubung kerosakan apabila ejen penguatkuasa memecah masuk premis, Ramkarpal berkata, mangsa atau pemilik premis rosak boleh mengambil tindakan sivil untuk kerajaan membayar balik kos pembaikan atau mengganti kerosakan berlaku.

Bagaimanapun, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) menyuarakan kebimbangan potensi salah guna kuasa, sambil menggambarkan kuasa diberikan Parlimen kepada badan penguatkuasa ini seperti “cek kosong”.

Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching), ketika mencelah berkata, situasi di lapangan melibatkan cubaan bunuh diri memerlukan kerajaan mengambil langkah tertentu untuk masuk dan menyelamatkan nyawa.

“Mereka yang cuba membunuh diri akan mengunci diri. Mereka tidak mahu diselamatkan. Saya memahami kebimbangan anda, namun apabila berkaitan hal kecemasan, pihak berkuasa perlu memecahkan pintu untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Ramkarpal bersetuju dengan pandangan Yii selepas kembali menggulung.

Katanya, pakar kesihatan mental tidak akan bersama dengan pegawai intervensi kerana mereka memainkan peranan berbeza dalam merawat mangsa dan bukannya sebagai ejen penguatkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.