Pendaki negara hilang selepas tawan Everest

Pendaki negara hilang selepas tawan Everest

Muhammad Hawari Hashim yang juga OKU pendengaran dilaporkan hilang selepas turun berehat di kem empat Gunung Everest.

Usaha mencari pendaki negara Muhammad Hawari Hashim sedang giat dijalankan termasuk menyampaikan mesej ke semua kem sama ada dia ada berlindung di khemah lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pendaki negara yang dalam misi menawan Gunung Everest, Muhammad Hawari Hashim dilaporkan hilang selepas berjaya mendaki gunung tertinggi di dunia itu.

Menurut laporan The Himalayan Times (THT), Hawari, 33, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dilaporkan hilang semalam.

Pengarah Pioneer Adventure Pvt Ltd, Nivesh Karki berkata, Muhammad Hawari dilaporkan hilang pada pagi Jumaat selepas berjaya menawan puncak gunung berkenaan dan turun berehat di kem empat.

Nivesh berkata, usaha pencarian sedang giat dijalankan termasuk menyampaikan mesej ke semua kem sama ada Muhammad Hawari ada berteduh di khemah lain.

Hawari yang berasal dari Pulau Pinang antara pendaki yang menyertai misi Malaysia Everest 2023.

Semalam, seorang peserta misi itu yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, dilaporkan meninggal dunia ketika hampir menawan gunung  berketinggian 8,848m dari aras laut itu.

Awang Askandar dilaporkan terjatuh pada ketinggian 8,000m sebelum disahkan meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.