
Ketua Polis Jelebu Maslan Udin berkata, harimau kumbang jantan dewasa seberat 40kg itu mati dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey di Kilometer 19, Jalan Seremban-Simpang Pertang, petang tadi.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, MPV itu yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun bersama keluarganya dalam perjalanan dari arah Seremban ke Kuala Klawang.
“Setibanya di tempat kejadian iaitu ketika melalui selekoh kanan menuruni bukit, harimau kumbang berkenaan secara tiba-tiba melintas menyebabkan lelaki itu tidak sempat mengelak dan melanggar haiwan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat pelanggaran, harimau kumbang itu sempat melarikan diri ke longkang berhampiran tetapi mati di lokasi tersebut.
Beliau berkata bangkai harimau kumbang itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya.
Video kejadian itu turut tular menunjukkan haiwan berkenaan merangkak ke tepi jalan sebelum mati.