15 sekolah di KL rosak akibat ribut

15 sekolah di KL rosak akibat ribut

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti tahap kerosakan.

Keadaan bilik darjah di sebuah sekolah rosak teruk selepas bumbungnya tercabut akibat hujan lebat dan ribut petang semalam. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Hujan lebat dan ribut yang melanda ibu negara petang semalam mengakibatkan 15 sekolah mengalami pelbagai kerosakan seperti bumbung bangunan tercabut dan pokok tumbang.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jenis dan tahap kerosakan.

“Buat masa ini, JKR menasihatkan pihak sekolah termasuk guru-guru dan pelajar-pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurutnya, Kementerian Kerja Raya melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan secepat mungkin.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Yaacob Latif, SK Salak South, SK Danau Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Imbi, SK Cochrane, SMK (P) Methodist.

Turut terjejas SK Setapak, SK Kg Bharu, SMK Puteri Wilayah (Asrama), SMK Seri Titiwangsa, SK Kementah, SMK Taman Melati, SMK Jinjang dan SK Seri Nilam.

Nanta berkata pihak kementerian turut menerima laporan kerosakan beberapa unit kediaman Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Batu Kentonmen Kuala Lumpur membabitkan bumbung dan sengkuap yang tercabut akibat kejadian itu.

“JKR akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.