Undi calon DAP kerana wakili kerajaan perpaduan, ahli Umno diberitahu

Undi calon DAP kerana wakili kerajaan perpaduan, ahli Umno diberitahu

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan juga menggesa ahli Umno mengenepikan sentimen pada pilihan raya negeri akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan berkata calon DAP yang bertanding dalam PRN nanti tidak mewakili parti tetapi kerajaan perpaduan.
SHAH ALAM:
Ahli Umno perlu melihat calon DAP dalam pilihan raya negeri akan datang sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan parti itu sendiri, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan.

“Memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya ialah bukan (undi) atas nama parti atau DAP tetapi atas nama kerajaan perpaduan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Loji Kabel XLPE Federal Power Sdn Bhd di Seksyen 15.

Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian, juga mengingatkan ahli Umno untuk mematuhi arahan parti dan mengenepikan sentimen pada diri masing-masing demi kestabilan.

Umno dan DAP, yang dulunya seteru tradisi, kini sama-sama menjadi sebahagian daripada kerajaan yang terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, dan dua gabungan parti pemerintah di Malaysia Timur – Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak.

Kerajaan ini juga disokong oleh Warisan, Muda, dan parti-parti lain serta wakil rakyat bebas.

Ahmad ditanya samada ahli Umno bersedia untuk mengundi calon DAP dalam pilihan raya negeri akan datang di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

Enam negeri ini dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada akhir Jun.

Menurut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamatnya tempoh atau pembubaran DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.