RM700 juta untuk ganti 1,200km paip usang di Melaka

RM700 juta untuk ganti 1,200km paip usang di Melaka

Syarikat Air Melaka Bhd berkata, paip simen asbestos sudah berusia 40 tahun berbanding jangka hayat sebenar iaitu 25 tahun.

Pegawai kerajaan Melaka memeriksa kerja membaiki paip utama bocor di loji rawatan air Gadek pada Rabu. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) memerlukan kira-kira RM700 juta bagi melaksanakan penggantian paip usang sepanjang kira-kira 1,170km di negeri itu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Abd Rashid Ab Rahman.

Beliau berkata paip usang berkenaan merupakan jenis paip simen asbestos yang berusia 40 tahun berbanding jangka hayat sebenar paip berkenaan sekitar 25 tahun sahaja.

“Baru-baru ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ada mengumumkan untuk membantu semua negeri bagi mengatasi aset air yang usang di seluruh negara.

“Dengan adanya bantuan termasuk peruntukan untuk membantu kerajaan negeri, kita berharap dapat menggantikan paip usang yang terdapat di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Unit SAMB Intelligent Command Centre (SICC) yang disempurnakan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata penggantian paip usang berkenaan penting bagi mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) di Melaka yang kini meningkat kepada 34.8% berbanding 18.5% pada 2017, dan ia bukan sahaja merugikan SAMB serta negeri malah boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan air yang disalurkan kepada pengguna.

Sementara itu Abd Rashid berkata Unit SAMB SICC yang dibangunkan sejak tahun lepas dengan peruntukan berjumlah RM3.2 juta mula beroperasi di Bangunan SAMB di Jalan Hang Tuah.

Beliau berkata SICC merupakan pusat utama memantau pengumpulan dan menganalisis pelbagai data operasi, bermula daripada air mentah, agihan bekalan air terawat bagi seluruh Melaka, selain aduan pengguna di negeri itu.

“Semua maklumat berkenaan akan dipaparkan menerusi sistem ‘dashboard’ secara 24 jam dan pemantauan akan dilakukan bagi membolehkan SAMB melaksanakan tindakan penyelesaian segera, perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi menyelesaikan pelbagai masalah operasi bekalan air.

“SAMB mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menyelesaikan setiap aduan pengguna khususnya melibatkan paip bocor dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Katanya pembangunan Unit SICC itu juga dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengurusan air yang lebih pintar, dinamik dan berinovasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.