Percutian bertukar tragedi, 2 maut bas terbabas di LPT2

Percutian bertukar tragedi, 2 maut bas terbabas di LPT2

Bas yang membawa 30 penumpang itu dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya, sebelum terbalik ke laluan bertentangan.

Pihak berkuasa membawa mayat seorang penumpang yang tercampak dari bas selepas terbabas di LPT2. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kegembiraan 30 sahabat bercuti di Pulau Redang, Terengganu bertukar tragedi apabila dua maut dalam nahas di KM375.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Besi dekat Dungun pagi tadi.

Tan Poh Hwa, 42, maut di tempat kejadian, manakala Choo Chia Tan, 44, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Dungun pada 9.15 pagi tadi. Kedua-duanya dari Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Baharum Muhamad Hasim berkata, 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktaffi Billah Shah dan Kuala Berang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.20 pagi.

“Sebaik anggota kami sampai di tempat kejadian, didapati seorang mangsa maut selepas tercampak keluar dari bas terbabit.

“Seorang lelaki dipercayai suami mangsa tersepit di tempat duduk dan kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa parah dan cedera dikejarkan ke Hospital Dungun serta Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Dungun, Baharudin Abdullah berkata, bas persiaran yang dalam perjalanan dari Tampin ke Kuala Terengganu itu dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya, sebelum terbalik ke laluan bertentangan.

“Pemandu bas persiaran terbabit yang berusia 26 tahun parah dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.