Waspada tawaran pakej rendah upah haji, kata Mata

Waspada tawaran pakej rendah upah haji, kata Mata

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia memberi peringatan tidak mudah terpedaya upah haji lebih rendah daripada ditetapkan Arab Saudi.

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) mahu kerajaan mengawal selia khidmat upah haji mengikut perundangan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan bukan boleh dilakukan sesuka hati tanpa pengawasan. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) menyarankan rakyat Malaysia supaya lebih berwaspada dengan tawaran badal atau upah haji yang tumbuh bak cendawan dengan menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang.

Mata berkata, pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menetapkan empat kategori pakej haji disediakan untuk penduduk tempatan tahun ini, dengan kos antara SAR3,984 (RM4,819.79) hingga SAR 11,841 (RM14,325.08).

“Dengan kos yang dikenakan kepada penduduk tempatan seperti yang dinyatakan adalah mustahil khidmat badal haji boleh dilakukan di bawah kos tersebut. Rakyat Malaysia diminta tidak terpedaya dengan kos sedemikian yang ditawar oleh mereka,” menurut kenyataan Mata.

Mata berpendapat, tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa kepada mereka yang menawarkan khidmat badal haji dengan harga tidak munasabah dan hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata dengan mengetepikan soal halal dan haram.

Persatuan itu turut mencadangkan agar kerajaan mengawal selia khidmat perniagaan badal haji mengikut perundangan yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan bukannya boleh dilakukan sesuka hati tanpa pengawasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.