Unit Dron Bukit Aman dipanggil pantau dron sekitar Istana Johor

Unit Dron Bukit Aman dipanggil pantau dron sekitar Istana Johor

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya sedang mengesan individu atau pihak tertentu yang menerbangkan dron sekitar istana pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat mengingatkan menjadi kesalahan menerbangkan dron di kawasan larangan tanpa kebenaran di istana dan lapangan terbang.
PETALING JAYA:
Polis Johor mendapatkan bantuan Unit Dron Bukit Aman bagi melakukan pemantauan susulan beberapa percubaan dron diterbangkan di sekitar kawasan istana negeri.

Justeru, polis negeri sedang mengesan individu atau pihak tertentu yang melakukan tindakan sedemikian, dalam kejadian kira-kira 5 petang, pada 10 Mei.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat, berkata menerbangkan dron di kawasan larangan tanpa kebenaran seperti di istana dan lapangan terbang menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan 1959.

“Ada beberapa percubaan dron diterbangkan dan pihak polis sedang mengesan mereka selepas menerima laporan kejadian itu pada minggu lepas. Polis Johor telah memanggil Unit Dron Bukit Aman dengan segera untuk membuat pemantauan.

“Dron itu dipercayai lalu terbang di atas Istana Johor dan ini memang salah kerana memasuki kawasan larangan,” katanya menurut Bernama.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mematuhi peraturan yang telah digariskan dalam penggunaan dron termasuk tidak menerbangkan peralatan itu melebihi 500m atau lebih tinggi daripada itu.

Ditanya mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay yang mendedahkan ada ketua polis daerah tidak berpuas hati apabila Bukit Aman menyerbu premis judi dalam talian, Kamarul Zaman berkata, perkara itu tidak berlaku di Johor.

Menurut beliau, 13 IPD di negeri itu sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap aktiviti perjudian termasuk dalam talian, selain pihaknya setiap hari turut menjalankan operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap kes itu.

Tambah beliau, berdasarkan jumlah statistik operasi perjudian dalam talian yang dilaksanakan, polis Johor adalah yang tertinggi antara semua kontinjen pada tahun ini dan beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Isnin, Ayob Khan dilaporkan berkata ketua polis daerah di seluruh negara diingatkan agar jangan menjadikan “Surat Aku Janji” tiada sebarang aktiviti judi di daerah pentadbiran masing-masing sebagai “kertas tisu”.

Ayob Khan dipetik berkata hal ini kerana beliau menerima maklumat ada dalam kalangan ketua polis daerah kontinjen Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila diminta untuk menghantar Task Force D7 JSJ Bukit Aman untuk mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.