Jual semula tiket Coldplay RM43,000, SKMM diarah siasat

Jual semula tiket Coldplay RM43,000, SKMM diarah siasat

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menasihatkan rakyat agar hanya membeli tiket konsert Coldplay menerusi saluran sah bagi mengelak ditipu.

Fahmi Fadzil semalam berkongsi tangkap layar berita melaporkan tiket konsert Coldplay dijual semula dengan harga sehingga RM43,000.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah diarah untuk mengambil tindakan berkaitan iklan jualan semula tiket konsert Coldplay di media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Ditemui pemberita selepas program Jom Baca Bersama 10 Minit di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), beliau berkata wujud kegiatan penipuan jualan tiket konsert berkenaan di media sosial dan SKMM akan meminta pengendali platform berkenaan menurunkan hantaran tersebut.

“Kalau dikesan, kita akan bawa (scammer) ke muka pengadilan dan hantaran (jualan tiket) jika masih berada di platform akan diambil tindakan bersesuaian,” katanya.

Tular di media sosial mengenai kewujudan akaun-akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay namun dikatakan dikendalikan oleh “scammer”.

Selain itu, terdapat juga pihak yang menjual semula tiket konsert kumpulan rock British itu dengan harga mencecah RM43,200, mengundang kecaman umum.

Mengenai tindakan menjual semula tiket Coldplay dengan harga mahal oleh ulat tiket, Fahmi berkata, beliau telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan pemantauan kerana kegiatan itu bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

“Saya lihat (jualan semula tiket) agak keterlaluan,” katanya sambil menambah, isu ulat tiket itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Fahmi turut menasihati orang ramai agar membeli tiket konsert melalui sumber yang sah bagi mengelak menjadi mangsa ulat tiket dan “scammer”.

“Kerajaan pandang serius isu (ulat tiket) ini dan kita kena kekang dan teliti apa undang-undang dan peraturan yang boleh diguna,” katanya.

“Saya ingatkan kalau ingin beli… belilah daripada sumber sah agar tidak ditipu. Kalau beli tetapi tidak dapat tiket, buat laporan polis untuk mereka ambil tindakan.”

Kumpulan rock dari Britain itu akan menjayakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 22 Nov di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.